Thursday, April 2, 2015

Tekanan Emosi dalam Kalangan Murid

Pendahuluan
Dalam dunia pendidikan, seseorang guru haruslah sentiasa saling menerima antara  satu sama lain dan sentiasa memberi perhatian dan seharusnya sentiasa mengambil tahu tentang masalah emosi dalam kalangan pelajar khususnya pelajar sekolah rendah. Hal ini penting agar semua pelajar sentiasa dapat melibatkan diri secara aktif dalam setiap kegiatan keilmuan yang dijalankan di sekolah. Secara umumnya, emosi pelajar perlu dikekal atau dipertingkatkan dengan pengajaran guru agar lebih bersifat pembimbing di sisi. Guru juga perlu memahami emosi pelajar kerana perbezaan tingkah laku, sosial dan rohani dalam kalangan pelajar sememangnya berbeza antara satu sama lain.
Tanda-tanda awal Gangguan Emosi dalam Kalangan Pelajar
Tekanan didefinisikan sebagai 1 reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.(Dr. David B. Posen - Lifestyle Counselor and Psychotherapist). Terdapat 2 jenis tekanan iaitu austress iaitu tekanan positif dan juga distress iaitu tekanan negatif. Lazimnya, masalah emosi yang semakin sukar dilihat dalam kehidupan pelajar kini adalah berpunca daripada pelbagai faktor penyebab. Walau bagaimanapun, masalah emosi tersebut dapat dikesan melalui beberapa tanda awal gangguan emosi berlaku dalam kalangan pelajar tersebut. Antaranya termasuklah:
a)    empati iaitu memahami orang lain secara mendalam
b)    mengungkapkan dan memahami perasaan
c)    mengendalikan amarah
d)    kemandirian iaitu berdiri dengan sendiri atau berdikari
e)    kemampuan untuk menyesuaikan diri
f)     disukai oleh orang lain
g)    kemampuan  untuk  memecahkan  atau  menghilangkan
h)   masalah antara mereka yang berada di sekeliling
i)     semangat setiakawan
j)      keramahan
k)    sikap hormat-menghormati
 Kebiasaannya,terdapat dua jenis tanda awal gangguan emosi tersebut iaitu tanda positif dan tanda negative. Seseorang pelajar yang merasa emosinya terganggu adalah kerana disebabkan oleh beberapa faktor seperti yang berikut:
a)    Kecemasan dan marah
b)    Sukar tunjukkan emosi tertentu
c)    Alami kesulitan
d)    Konflik
Ketika tertekan, badan kita akan mengeluarkan satu hormon rangsangan yang bernama ‘adrenaline’ kedalam saluran darah kita. Hormon ini bersama-sama dengan beberapa hormon yang lain akan menyebabkan beberapa perubahan berlaku di dalam tubuh kita sebagai persiapan untuk melindungi kita. Di antara perubahan-perubahan itu ialah denyutan jantung bertambah laju dan tekanan darah akan meningkat (untuk mengepam lebihan darah kepada otak, otot dan jantung); gula, lemak dan kolesterol di dalam darah akan bertambah (untuk memberi lebihan tenaga kepada badan); pernafasan seseorang akan lebih laju (untuk menyalurkan lebihan oksigen yang diperlukan) dan begitulah seterusnya. Perubahan-perubahan ini berlaku secara tabii selari dengan keperluan tubuh kita ketika itu. Walaubagaimanapun, jika stress atau tekanan berpanjangan di dalam hidup kita dan kita pula tidak bijak untuk mengurusnya, ia akan bertukar menjadi ‘distress’ yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit tertentu menimpa kita.
Gejala-gejala tekanan
Antara gejala-gejala tekanan termasuklah:
a)    Fizikal iaitu berlaku keletihan, pening kepala, susah tidur, sakit-sakit badan terutamanya di kawasan bahu dan belakang, degupan jantung yang kuat, sakit dada, berasa loya, ketar badan, sejuk tangan dan berpeluh.
b)    Mental iaitu kerap berlaku hilang tumpuan, mudah lupa, susah untuk membuat keputusan, tidak boleh berfikir, celaru pemikiran dan tidak boleh berjenaka.
c)    Emosi iaitu sentiasa risau, sentiasa bimbang, sugul, marah, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif, mudah hilang sabar dan panas baran.
d)    Perangai di mana sering mengalami keluh-kesah, lahir tabiat seperti menggigit kuku dan menggedik-gedikkan kaki, makan yang berlebihan, merokok, minum arak, menjerit-jerit, maki hamun, mengungkit-ungkit dan menyalahkan orang lain serta bertindak agresif.
 Di samping itu, kajian telah menunjukkan bahawa tekanan juga adalah penyebab kepada beberapa penyakit seperti darah tinggi, sakit sendi (rheumatoid athritis), cirit-birit dan sakit usus (irritable bowel syndrome and ulcerative colitis), mandul dan alahan kulit. (Dr. Maria A. Smith, UTC School of Nursing; Advanced Pathophysiology: Stress & Disease, Chapter 9).
Faktor-faktor tekanan emosi pelajar
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang pelajar mengalami tekanan. Pelajar amat mudah terdedah kepada tekanan disebabkan oleh proses transisi kehidupan mereka. Hal ini berlaku apabila terdapat sesetengah pelajar yang menunjukkan kecermelangan akademik pada peringkat sekolah,tetapi tidak dapat mengakalkan pencapaian yang baik apabila berada di sekolah menengah atau kolej. Persaingan yang sengit dalam mengejar kecemerlangan akademik memberikan tekanan yang tinggi kepada pelajar dalam merealisasikan wawasan mereka. Selain itu, faktor persekitaran, persaingan hubungan interpersonal dan cara pemikiran pelajar turut menyebabkan tekanan emosi kepada pelajar. Oleh itu, tekanan masih tidak dapat dipisahkan daengan kehidupan pelajar dalam kesibukan mereka menuntut ilmu dan memperoleh pelbagai kemahiran. Bentuk tekanan dalam kalangan pelajar juga adalah berbeza. Terdapat pelajar yang berupaya berhadapan dengan tekanan tanpa mengalami apa-apa kesan fizikal, mental atau emosi yang negatif serta berupaya memotivasikan diri. Ada juga pelajar yang tidak berupaya menguruskan tekanan apabila berada dalam peringkat pengajian yang lebih tinggi. Tekanan yang melebihi tahap tertentu sekiranya tidak dikawal akan mewujudkan pelbagai masalah kepada setiap individu yang terbabit. Biasanya, tekanan emosi dialami dalam pelbagai keadaan seprti rasa sunyi, kurang tidur, keresahan, kebimbangan yang tinggi ,serta simpton fisiologi yang ditunjukkan kesan daripada sesuatu peristiwa yang dialami. Oleh hal yang demikian, tekanan emosi boleh menyebabkan kehidupan dan pergaulan seharian pelajar terjejas sehingga memberikan impak negatif terhadap tahap kesihatan, personaliti, interaksi sosial dan pencapaian akademik mereka.
Menurut Campbell dan Svenson, apabila tekanan dilihat dari aspek yang negatif atau tekanan yang terlalu tinggi, hal ini boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap kesihatan dan pencapaian akademik pelajar. Oleh sebab tekanan dalam kalangan pelajar merupakan fenomena yang membimbangkan pelbagai pihak sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh, maka adalah penting untuk mengenal pasti faktor penyebab tekanan pelajar terlebih dahulu sebelum program pengurusan tekanan dilakukan.
Penyelidik dari Universiti Melbourne, Australia menjalankan Projek Gatehouse selama enam tahun terhadap pelajar sekolah di sana mengenai penggunaan dadah, aktiviti seks, kemurungan dan keinginan membunuh diri. Dapatan daripada kajian menunjukkan bahawa masalah sosial ini menurun sebanyak 50 peratus hingga 66 peratus selepas pelajar dibekalkan ilmu pengurusan tekanan emosi harian.
Sememangnya ilmu menguruskan tekanan emosi sangat penting diajarkan kepada pelajar supaya mereka dapat membentengi diri sendiri apabila menghadapi tekanan dengan menyeimbangkan emosi. Oleh sebab itu, melalui pendidikan di sekolah, setiap pelajar dididik suoaya dapat menyeimbangkan jasmani, emosi, rohani dan intekek dalam menjalani kehidupan seharian.
Gejala kesihatan mental dalam kalangan remaja juga menunujukkan pola meningkat dan peru ditangani dengan sebaik-baik mungkin dari semasa ke semasa. Bagi mengatasinya, empat sekolah dipilih sebagai sekolah perintis untuk melasanakan modul khas bagi mengesan gejala penyakit mental dalam kalangan remaja pada peringkat awal. Usaha semua pihak dalam menangani masalah ini dapat mengurangkan gejala tekanan emosi dan kemurungan dalam kalangan remaja.Pendidikan adab dan akhlak yang baik di rumah serta di sekolah dapat membentuk tingkah laku yang seimbang,sekali gus membentuk remaja yang mempunyai personaliti yang seimbang dan mampu menguruskan emosi.
Kaedah mengatasi tekanan emosi dalam kalangan pelajar
Langkah menguruskan tekanan dengan secara bijaksana sangat diperlukan bagi mermbantu pengurusan kehidupan serta mencari kesejahteraan dalam kehidupan serta mencari kesejahteraan dalam kehidupan yang mencabar kini. Kepimpinan guru yang bersifat demokratik boleh mewujudkan interaksi dua hala dan membawa kepada suasana sosio-emosi yang sihat, mesra dan harmonis di antara guru dengan murid-muridnya. Sifat kepimpinan demokratik ini boleh mengurangkan suasana yang tegang dan menggalakkan murid-murid berdamping rapat dengan guru, tidak merasa segan untuk bertanya atau mengemukakan pendapat mereka. Sifat kepimpinan demokratik ini juga mendorong murid-murid berinteraksi di antra satu sama lain, dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kumpulan.
Aktiviti Kumpulan memberi banyak peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi di antara satu sama lain. Oleh itu, guru harus berikhtiar merancang dan menguruskan banyak aktiviti kumpulan untuk membolehkan murid-murid menjalankan aktiviti pengayaan, aktiviti pemulihan, lakonan, sesi buzz, permainan pertandingan atau kerja projek. Aktiviti-aktiviti sebegini akan merangsang murid untuk menampil diri kehadapan bagi menyiapkannya serta mereka tidak akan berasa diri mereka diasingkan. Aktiviti-aktiviti ini juga boleh menggalakkan murid untuk menujukkan bakat yang terpendam dalam diri mereka.
Sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Flanders, percakapan guru yang boleh mewujudkan interaksi guru dengan murid-muridnya adalah diklasifikasikan di bawah kategori pengaruh tidak langsung. Ini bermakna, untuk mewujudkan interaksi dua hala, selain menggunakan kaedah menyoal, percakapan guru harus boleh menggalakkan murid untuk mengemukakan pendapat atau memberi tindak balas mereka. Contohnya, guru boleh menggunakan modifikasi tingkah laku yang bersesuaian. Peneguhan positif seperti memuji diberi kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang diingini. Hukuman dikenakan perlu adil dan berseuaian.
 Sekiranya terdapat murid yang mempunyai masalah peribadi seperti bersifat pendiam, penakut, pemalu, guru seharusnya mengadakan sesi kaunseling untuk membantu mereka mengatasi masalah peribadinya. Selepas itu, guru menggalakkan mereka menyertai dalam aktiviti pembelajaran bersama murid-murid yang lain. Guru juga seharusnya mendorong murid-murid normal supaya mereka dapat menerima murid-murid yang bermasalah dalam kumpulan mereka dan tidak menyingkirkan murid-murid bermasalah tersebut. Cara ini dapat mengelakkan murid yang bermasalah mengalami gangguan emosi.
Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah boleh menganjurkan program-program yang berbentuk pendidikan sebagai tindakan sokongan dalam pembentukan tingkah laku. Program-program ini bertujuan membantu mereka yang mempunyai masalah gangguan emosi untuk meningkatkan pencapaian akademik, membangunkan kemahiran sosial, meningkatkan kemahiran dalam mengawal tingkah laku dan meningkatkan konsep kendiri murid-murid.
Mengikut Albert Bandura, murid haruslah bersifat self-efficacy iaitu murid yang boleh belajar daripada kekalahan, mengambil inisiatif mencari punca kekalahan, memikir bagaimana membaikinya demi menukarnya kepada kemenangan, dan bukan membimbangi atau menyedih kerana kekalahan. Murid belajar untuk memandang segala perkara secara optimistik kerana ia merupakan cara yang paling berkesan untuk menentang emosi yang kurang sihat ini. Murid-murid yang mengalami gangguan emosi perlu mendapat perkhidmatan psikologi dan kaunseling. Mereka ini perlu mendapat khidmat bimbingan kepada ahli psikologi, kaunselor dan personel yang berkelayakan atau bertauliah.
 
Kerjasama dengan ibu bapa juga perlu semasa seseorang murid itu mendapat bimbingan daripada ahli psikologi, kaunselor dan personel yang bertanggungjawabnya. Ini kerana ibu bapa juga perlu diberi maklumat yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Perbincangan antara dua pihak itu dibuat dari semasa ke semasa dan apa juga cadangan untuk menangani masalah yang dihadapinya perlu dibuat bersama-sama. Selain daripada itu, ibu bapa juga harus membelikan buku-buku yang berkaitan dengan teknik-teknik meningkatkan kecerdasan emosi dan menghadiahkannya kepada anak yang mengalami gannguan emosi. Ibu bapa juga seharusnya dapat memberikan beberapa tunjuk ajar tentang cara menguruskan emosi masing-masing.
Guru atau ibu bapa seharusnya tidak memukul murid atau anak yang mempunyai tingkah laku yang tidak diingini seperti anak yang sering kali ponteng sekolah atau anak yang merokok. Murid perlu diberi peluang untuk mengenalpasti kesalahan atau tingkah laku yang tidak diingini dan seterusnya diberi ruang untuk memperbaiki tingkah laku yang tidak diingini tersebut. Ini kerana sekiranya mereka memukul anak tersebut, ia cenderung untuk menggalakkan wujudnya perasaan benci, marah terhadap orang yang memukulnya dan anak itu tidak akan memperbaiki tingkah laku itu. Ini akan meyebabkan anak atau murid itu mengalami gangguan emosi.
 
Kesimpulan
Tekanan emosi merupakan pengalaman atau kejadian yang sering dialami seseorang individu hingga menyebabkan gangguan terhadap pemikiran ,perasaan dan aktiviti harian,maka hal ini perlu diuruskan dan ditangani dengan segera supaya tidak menjadi lebih serius dan mengganggu kesihatan individu yang terlibat. Menurut Lessard, tekanan yang tidak sengaja dialami oleh orang dewasa,bahkan melanda juga remaja dan kanak-kanak ,memerlukan keseimbangan dari pelbagai aspek,khususnya bagi memainkan peranan dan tugas yang dilaksanakan .Sekiranya tiada keseimbangan ,seseorang itu mudah mengalami tekanan emosi.Oleh hal yang demekian,fenomena terkanan dalam kalangan pelajar merupakan topik yang sering menjadi bahan kajian kebanyakan pengkaji.

No comments: